SEJARAH SEKOLAH

          

      Salah sebuah sekolah melayu terawal yang dibina di negeri Kedah Darul Aman ialah Sekolah Melayu Bujang. Sekolah Melayu Bujang telah didirikan pada tahun 1333 Hijrah bersamaan 1914 Masihi. Pengasas kepada pembinaan Sekolah Melayu Bujang ialah Penghulu Ahmat ( Mat ) Bin Lebai Tahir Bin Wan Dewa, iaitu Penghulu Mukim Bujang ketika itu. Sekolah ini dibina dengan bantuan daripada kerajaan dan gotong-royong oleh penduduk setempat. Ini kerana ramai di kalangan penduduk Mukim Bujang sudah sedar akan pentingnya pelajaran untuk masa depan anak-anak.
      Pada asalnya hanya sebuah bangunan sahaja yang didirikan di atas sebidang tanah yang luasnya 2 relong 339 jemba ( 83648 kaki persegi / 7771.15 meter persegi/1.92 ekar ). Tanah ini adalah kepunyaan Encik Saad Bin Ali. Bangunan Sekolah Melayu Bujang yang didirikan itu berukuran 78 kaki X 33 kaki. Bangunan ini bertiangkan batu setinggi 3 kaki dan berlantaikan papan. Diding bangunan ini diperbuat daripada papan yang bercat hijau. Sementara tingkapnya diperbuat daripada bertam. Untuk membukanya, sebatang kayu akan digunakan sebagai tongkat atau penyangga. Bumbungnya pula diperbuat daripada susunan genting jenis kecil. Pada ketika itu juga, sebuah rumah guru telah didirikan di belakang bangunan sekolah tersebut.
GAMBAR ASAL TAHUN  1333H

BANGUNAN ASAL SEKOLAH MELAYU BUJANG BERTINGKAP BERTAM (dirakam tahun 50'an)


BANGUNAN ASAL SEBELUM DIROBOHKAN PADA TAHUN 2008
Pada peringkat awal penubuhan, Sekolah Melayu Bujang hanya menerima pelajar-pelajar lelaki sahaja untuk belajar. Walau pun begitu bilangannya tidaklah begitu ramai. Ini kerana ibu bapa lebih suka anak-anak mereka membantu mereka di sawah padi daripada belajar di sekolah. Manakala bagi pelajar perempuan pula tidak dihantar untuk belajar di sekolah tersebut. Ini kerana ibu bapa pada ketika itu tidak membenarkan anak-anak perempuan untuk belajar di sekolah.
      Guru Besar yang pertama bagi Sekolah Melayu Bujang ialah Cikgu Mohd Sutan Bin Hasan. Beliau dibantu oleh Encik Ishak Bin Musa sebagai Guru Penolong. Cikgu Mohd Sutan bertugas di sekolah ini hanya selama 2 tahun sahaja. Bertepatan dengan sekolah yang didirikan atas usaha gotong-royong, justeru peralatan seperti kerusi dan meja dibuat sendiri oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut. Kemahiran diperolehi daripada salah satu mata pelajaran yang dipelajari di sekolah tersebut iaitu mata pelajaran pertukangan yang diajar oleh Tuan Haji Idris Bin Bakar.
RUMAH GURU BESAR
      Walau bagaimanapun, pada tahun 1933, Sekolah Melayu Bujang telah  mula menerima pelajar perempuan iaitu seramai 29 orang. Meskipun berpeluang bersekolah, mereka ini hanya sempat belajar selama 2 bulan sahaja, kemudian terpaksa berhenti kerana bantahan daripada penduduk kampung. Bantahan ini dibuat kerana penduduk tidak bersetuju dengan percampuran antara pelajar lelaki dan perempuan di sekolah tersebut. Namun begitu, pada tahun 1942, sekolah ini menerima semula pelajar-pelajar perempuan seramai 25 orang dan situasi tersebut berterusan sehingga kini.
      Sementara itu, had umur untuk pelajar-pelajar memasuki Darjah 1 ialah 8 dan 9 tahun iaitu untuk tahun-tahun sebelum, semasa dan selepas perang. Pada tahun-tahun sebelum perang ( 1941 ), pelajar-pelajar yang cemerlang boleh melompat kelas dengan tempoh masa yang diberikan selama 5 bulan. Pada ketika itu juga, sijil-sijil dikeluarkan untuk pelajar-pelajar tahun 4, 5 dan 6 yang tamat pengajian di sekolah tersebut.

LENCANA SEKOLAH KEBANGSAAN BUJANG
        Pada awal tahun 50’an ( sekitar tahun 1953 ), sekolah ini ditukarkan nama kepada Sekolah Umum Bujang dan selepas merdeka iaitu pada tahun 1957, sekolah ini ditukarkan pula nama kepada Sekolah Kebangsaan Bujang. Guru-guru di Sekolah Kebangsaan Bujang juga telah diberikan latihan khas seperti latihan di maktab perguruan atau latihan “normal class”. Guru-guru juga telah diiktiraf sebagai kaki tangan kerajaan. Mata pelajaran yang diajar pada ketika itu ialah Congak, Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Bacaan Rumi, Karangan dan Pertukangan.
      Memandangkan bilangan pelajar semakin meningkat sehingga 390 orang, pada tahun 1953 sebuah bangunan baru berukuran 120 kaki X 20 kaki telah dibina. Lantai dan dinding bangunan ini diperbuat daripada simen manakala tingkapnya diperbuat daripada bertam. Pada tahun 1983, bangunan baru setinggi 3 tingkat dibina dengan binaan konkrit. Bangunan ini berukuran 160 kaki X 30 kaki bagi setiap satu aras. Bangunan ini mempunyai 11 bilik darjah.
SK SULTAN MUDZAFFAR SHAH PADA 1985
      Pada tahun 1973, Sekolah Kebangsaan Bujang telah ditukarkan nama kepada Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah, iaitu bersempena dengan nama Sultan Kedah yang pertama memeluk Islam dan telah dimakamkan di Kampung Langgar, Mukim Bujang.
MAKAM SULTAN MUDZAFFAR SHAH DI KAMPUNG LANGGAR, MUKIM BUJANG
(dirakam pada tahun 70'an)

      Seterusnya pada tahun 1991, pihak sekolah telah membina sebuah surau untuk kegunaan guru dan murid-murid sekolah ini serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan islam. Pada tahun 2002 pula, pihak kementerian pelajaran telah membina sebuah makmal komputer dengan 20 komputer murid dan 1 komputer guru serta set bilik server.
      Seiring dengan pertambahan bilangan petempatan seperti Taman Lembah Bujang Fasa 1 - 3, pihak kementerian telah membina dua bangunan berkembar setinggi 4 tingkat dan sebuah bangunan untuk PraSekolah pada tahun 2009. Bangunan baru ini dilengkapi dengan dewan terbuka, bilik-bilik darjah, makmal sains dan bengkel kemahiran hidup.
      Sekolah Sultan Mudzaffar Shah telah dianugerahkan sebagai Sekolah Harapan Negara pada tahun 1997.
MURID-MURID SK BUJANG PADA TAHUN 1959

RUMAH GURU ASAL
KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUN 1950'AN DI PADANG BERHADAPAN RUMAH GURU
AKTIVITI GOTONG-ROYONG DI HADAPAN DEWAN ORANG RAMAI KINI TAPAKNYA DIBINA KUARTES GURU ( PUSAT SUMBER SEKOLAH YANG BARU )
BERGAMBAR DI HADAPAN DEWAN ORANG RAMAI BUJANG ( KINI TAPAKNYA ADALAH PUSAT SUMBER SEKOLAH )
GURU DAN STAF TAHUN 1970'AN
BANGUNAN B TAHUN 1973

BANGUNAN A DAN B TAHUN 1973

SENARAI GURU BESAR
  1. MOHD SULTAN BIN HASAN ( 1914 - 1917 )
  2. MD HASSAN BIN ALI ( 1917 - 1922 )
  3.  MOHAMAD BIN SAAD ( 1922 - 1924 )
  4. MOHD YUSOF ( 1924 - 1929 )
  5. AB DAIM BIN MD JIWA ( 1929 - 1932 )
  6. OMAR BIN HJ MD AKIB ( 1932 - 1937 )
  7. ABD HAMID BIN YUSOF ( 1937 - 1942 )
  8. KHAMIS BIN IDRIS ( 1942 - 1969 )
  9. HASSANUDDIN BIN SAAD ( 1970 - 1976 )
  10. HASAN BIN HUSSAIN ( 1976 - 1978 )
  11. MOHAMAD BIN HARUN - MEMANGKU ( 1979 )
  12. AHMAD BIN BAHAROM ( 1979 - 1987 )
  13. ABD MAJID BIN HASHIM (  1987 - 1989 )
  14. HAJI HUSSEIN BIN  SHARIFF  (1987 – 1989 )
  15. HAJI MD NOOR BIN ARIFFIN  ( 1989 – 1991 )
  16. HASSAN BIN HAJI AHMAD  ( 1991 – 1992 )
  17. HAJI MAHMUD BIN HAJI HAMID  ( 1992 – 1995 )
  18. MD ISA BIN ABDUL  (1995 – 1998 )
  19. ASMAR BINTI DALIMI  ( 1998 – 2000 )
  20. HAMIDAH BINTI MAHMOOD  ( 2000 – 2000 )
  21. AHMAD KAMIL SARAIDIN BIN SAMSUDIN  ( 2000 – 2004 )
  22. ISHAK BIN ABDULLAH  ( 2004 – 2006 )
  23. HAIRONI @ JUWAIRIYAH BINTI SHUIB  ( 2006 – 2007 )
  24. KAMARIAH BINTI ABD MANAN  ( 2007  -  2013 )
  25. MOHD EFFENDI BIN ABDUL RAHMAN ( 2013- 2015 )
  26. MOHD ARIS BIN OSMAN ( 2016 - 2017 )
  27. ISMAIL BIN JEMALUDDIN ( 2017
BANGUNAN BARU YANG DIBINA PADA TAHUN 2009 DI ATAS TAPAK BANGUNAN ASAL
RUMAH GURU JENIS F BERKEMBAR DUA DIBINA PADA TAHUN 1999
(JKR KM/SIK NO 1830 C DAN 1830 D)

RUMAH GURU YANG DIBINA PADA TAHUN 1999 DAN KINI DIUBAH SUAI SEBAGAI
PUSAT SUMBER SEKOLAH

RUMAH GURU YANG DIBINA PADA TAHUN 1958, MASIH KEKAL SEHINGGA KINI.
REGU SEPAK TAKRAW YANG AMAT DISEGANI DI SEKITAR 70'AN
( SASARAN MURNI KAMPUNG BUJANG )
 
          

No comments:

Post a Comment