ALUMNI SKSMS

Pendahuluan

Sebagai sebuah sekolah yang telah lama ditubuhkan, Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah, Bujang, Bedong, Kedah, telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Boleh dikatakan hampir keseluruhan golongan penduduk Mukim Bujang menimba pengalaman awal dalam pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah. Golongan ini kini bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan dan melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan yang sebenarnya amat berguna jika dapat diturunkan kepada generasi yang lebih muda terutamanya para pelajar yang masih menuntut. Bekas pelajar-pelajar ini juga telah melalui berbagai cabaran semasa menempuhi alam pembelajaran yang pastinya dapat membantu para pelajar yang masih bertungkus-lumus menimba ilmu di kelas.
Apa yang menjadi masalah disini ialah ketiadaan medium untuk golongan ini berkongsi pengalaman mereka. Disinilah timbulnya idea untuk menubuhkan satu persatuan yang mampu menjadi medium untuk menyalurkan segala pengalaman dan ilmu yang berguna kepada pelajar-pelajar. Persatuan yang paling relevan dengan fungsi tersebut ialah sebuah persatuan yang dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar ini dalam satu organisasi. 

Relevan Penubuhan
Seperti yang dinyatakan, satu saluran perlu diwujudkan bagi memastikan pengalaman dan kepakaran bekas pelajar-pelajar dapat digunakan untuk memajukan sekolah. Selain itu, penubuhan alumni juga dapat mengumpulkan semula hampir keseluruhan bekas pelajar-pelajar yang pernah menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah. Dengan ini mereka dapat bertukar-tukar fikiran dan idea untuk digarap bersama sebagai satu idea baru yang akan dapat digunakan sebagai satu langkah untuk membawa kebaikan kepada sekolah khasnya dan kepada penduduk Mukim Bujang amnya. 
Jika difikirkan semula, sebuah sekolah yang telah berusia hampir 100 tahun sepatutnya mempunyai satu persatuan khas untuk mengumpulkan bekas pelajar-pelajarnya bagi memastikan kewujudan sekolah ini sentiasa memberi faedah dan kebaikan kepada orang ramai di sekitarnya. Jadi penubuhan Alumni ini sangat bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan semasa di mana orang ramai kini kurang mengambil perhatian terhadap isu-isu yang berlaku di sekolah.
Alumni juga mampu menjadi satu organisasi penting yang membawa pengaruh besar kepada golongan muda Mukim Bujang yang kini dilihat sibuk melakukan hal masing-masing sahaja. Golongan muda ini yang juga terdiri daripada bekas pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah perlu ditarik menyertai aktiviti sekolah bagi membawa impak yang lebih besar kepada kemajuan sekolah kerana mereka dapat dilihat sebagai satu lapisan yang satu hari nanti akan membarisi tampuk kepimpinan PIBG dan sekolah. Apa yang diharapkan agar golongan ini akan dapat meneruskan malah memperkukuhkan perjuangan PIBG yang sedia ada.
Pihak sekolah sendiri pastinya menyimpan harapan agar pelajar-pelajar yang pernah menuntut di sini pulang semula untuk menabur bakti dan membantu pihak sekolah mencapai matlamat sebagai pusat ilmu utama di Mukim Bujang. Hanya alumni sahaja dapat merealisasikan harapan ini kerana ia tidak terhad kepada lapisan masyarakat tertentu sahaja. 

Objektif Penubuhan
Alumni diharap bukan sekadar dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Juara, malah membantu sekolah untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Berikut digariskan beberapa objektif utama penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah :
1.         Mengumpulkan kepakaran dalam pelbagai aspek pelajaran daripada segenap lapisan bekas pelajar sebagai pemangkin kecemerlangan sekolah.
2.         Sebagai satu mekanisma sokongan kepada PIBG dan sekolah dalam memperbaiki sistem pembelajaran di samping memastikan kebajikan para pelajar sentiasa diberi perhatian.
3.         Berfungsi untuk memberi bantuan kepada pihak sekolah dari segi sumber pengajaran, kemudahan pelajar dan apa-apa material yang dilihat dapat membantu kemajuan sekolah.
4.         Menjadi satu saluran selain PIBG untuk penduduk menyuarakan pendapat dan cadangan kepada pihak sekolah. Dengan ini aliran maklumat dapat berlaku dengan lebih lancar dan sistematik.
5.         Memberi bantuan yang sewajarnya kepada dalam menjayakan sesuatu majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah sekaligus melancarkan perjalanan program tersebut.
6.         Sebagai rakan dan juga pendokong misi dan visi Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah.
7.         Merangka program-program pembangunan akademik dan sahsiah untuk membantu kecemerlangan sekolah dari segi akademik mahupun disiplin pelajar.
8.         Berkongsi pengalaman dalam menempuh alam persekolahan sehingga ke alam pekerjaan. 

Aktiviti
Aktiviti alumni perlu ditumpukan kepada beberapa elemen penting.
·       Pembangunan sosial dan akademik pelajar
·       Penjanaan Kewangan
·       Perkongsian kepakaran
·       Aksesori tambahan
-   Sambutan 100 tahun sekolah pada tahun 2014
Antara aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan oleh Alumni:
1.         Kelas-kelas tambahan untuk memperkukuhkan pembelajaran murid-murid. Tenaga pengajar terdiri daripada ahli alumni sendiri.
2.         Ceramah motivasi dan teknik menghadapi peperiksaan yang disampaikan oleh individu-individu berpengalaman.
3.         Kempen kesedaran kepada ibubapa dan sekolah tentang kepentingan hubungan akrab antara para ibubapa dan sekolah.
4.         Perjumpaan semula bekas pelajar yang pernah menuntut dan guru yang pernah mencurahkan ilmu di Sekolah Kebangsaan Juara.
5.         Ceramah/seminar untuk memberi panduan dan nasihat kepada pelajar dan ibubapa tentang skop kerjaya. 

Penutup
Berdasarkan kertas kerja ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa penubuhan Alumni adalah relevan dengan keperluan semasa. Melalui penubuhannya semua pihak akan mendapat pelbagai manfaat dan kebaikan samada secara langsung mahupun tidak langsung. Tiada pihak yang akan mendapat kesan negatif daripadanya. Jadi semua golongan harus bekerjasama agar penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah dapat direalisasikan dengan jayanya.

AHLI JAWATANKUASA
Penasihat : En. Mohd Effendi Bin Abdul Rahman
( Guru Besar SKSMS )
Presiden : En. Md Shukri Bin Shuib
( Pensyarah UUM )
Timbalan Presiden : Tn.Hj Zikri Bin Othman
( Telekom Malaysia / JKKKP Kg Bujang )
Setiausaha Kehormat : En. Gafri Bin Abdullah
( Guru SKSMS )
Penolong Setiausaha Kehormat : Cik Siti Fairuz Bin Ibrahim
( Pensyarah UiTM P.Pinang )
Bendahari Kehormat : Pn. Hjh. Roshimah Bt Saad
( Guru SKSMS )
Penolong Bendahari Kehormat : Pn Rosma Bt Azizan
( Anggota PDRM Sg Petani )
Jawatankuasa:
Pn. Hjh. Samsiah Bt Ishak ( Ahli Perniagaan )
En. Ali Bin Rosli ( Pegawai RELA / Keselamatan )
En. Mohd Nizam Bin Othman ( Pesara ATM )
En. Mohamad Faiz Bin Mohamad 
Pn. Hjh Bushriyah Bt Baharom ( Pesara ) 



MESYUARAT JK ALUMNI KALI 1/2014
TARIKH : 23 APRIL 2014
MASA : 2.00 PETANG
HARI : RABU
TEMPAT : BILIK MESYUARAT SEKOLAH

1 comment:

  1. Saya bekas pelajar SMSS tahun 1979-1984. Rasa bangga dengan perkembangan dan kejayaan sekolah ini. Alhamdulilah berkat didikan guru Yang mencurahkan ilmu Di sini telah berjaya menjadikan saya insan Yang berguna kepada masyarakat Dan negara. Alhamdulilah Dan lebih 25 tahun berada Di Sabah sebagai seorang pendidik. Bagaimanakah Cara untuk menjadi ahli alumni sekolah ini. Mungkin ianya dapat memvantu Dan berkongsi idea untuk terus membangunkan sekolah hingga mencapai tahap cemerlang Dan gemilang. Terima kasih

    ReplyDelete