Salah sebuah
sekolah melayu terawal yang dibina di negeri Kedah Darul Aman ialah Sekolah
Melayu Bujang. Sekolah Melayu Bujang telah didirikan pada tahun 1333 Hijrah
bersamaan 1914 Masihi. Pengasas kepada pembinaan Sekolah Melayu Bujang ialah
Penghulu Ahmat ( Mat ) Bin Lebai Tahir Bin Wan Dewa, iaitu Penghulu Mukim Bujang
ketika itu. Sekolah ini dibina dengan bantuan daripada kerajaan dan
gotong-royong oleh penduduk setempat. Ini kerana ramai di kalangan penduduk
Mukim Bujang sudah sedar akan pentingnya pelajaran untuk masa depan anak-anak.
Pada
peringkat awal penubuhan, Sekolah Melayu Bujang hanya menerima pelajar-pelajar
lelaki sahaja untuk belajar. Walau pun begitu bilangannya tidaklah begitu
ramai. Ini kerana ibu bapa lebih suka anak-anak mereka membantu mereka di sawah
padi daripada belajar di sekolah. Manakala bagi pelajar perempuan pula tidak
dihantar untuk belajar di sekolah tersebut. Ini kerana ibu bapa pada ketika itu
tidak membenarkan anak-anak perempuan untuk belajar di sekolah.
Guru Besar
yang pertama bagi Sekolah Melayu Bujang ialah Cikgu Mohd Sutan Bin Hasan.
Beliau dibantu oleh Encik Ishak Bin Musa sebagai Guru Penolong. Cikgu Mohd
Sutan bertugas di sekolah ini hanya selama 2 tahun sahaja. Bertepatan dengan
sekolah yang didirikan atas usaha gotong-royong, justeru peralatan seperti
kerusi dan meja dibuat sendiri oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut. Kemahiran
diperolehi daripada salah satu mata pelajaran yang dipelajari di sekolah
tersebut iaitu mata pelajaran pertukangan yang diajar oleh Tuan Haji Idris Bin
Bakar.
|
RUMAH GURU BESAR |
Walau
bagaimanapun, pada tahun 1933, Sekolah Melayu Bujang telah mula menerima pelajar perempuan iaitu seramai
29 orang. Meskipun berpeluang bersekolah, mereka ini hanya sempat belajar
selama 2 bulan sahaja, kemudian terpaksa berhenti kerana bantahan daripada
penduduk kampung. Bantahan ini dibuat kerana penduduk tidak bersetuju dengan
percampuran antara pelajar lelaki dan perempuan di sekolah tersebut. Namun
begitu, pada tahun 1942, sekolah ini menerima semula pelajar-pelajar perempuan
seramai 25 orang dan situasi tersebut berterusan sehingga kini.
Sementara
itu, had umur untuk pelajar-pelajar memasuki Darjah 1 ialah 8 dan 9 tahun iaitu
untuk tahun-tahun sebelum, semasa dan selepas perang. Pada tahun-tahun sebelum
perang ( 1941 ), pelajar-pelajar yang cemerlang boleh melompat kelas dengan
tempoh masa yang diberikan selama 5 bulan. Pada ketika itu juga, sijil-sijil
dikeluarkan untuk pelajar-pelajar tahun 4, 5 dan 6 yang tamat pengajian di
sekolah tersebut.
|
LENCANA SEKOLAH KEBANGSAAN BUJANG |
Pada awal
tahun 50’an ( sekitar tahun 1953 ), sekolah ini ditukarkan nama kepada Sekolah
Umum Bujang dan selepas merdeka iaitu pada tahun 1957, sekolah ini ditukarkan
pula nama kepada Sekolah Kebangsaan Bujang. Guru-guru di Sekolah Kebangsaan
Bujang juga telah diberikan latihan khas seperti latihan di maktab perguruan
atau latihan “normal class”. Guru-guru juga telah diiktiraf sebagai kaki tangan
kerajaan. Mata pelajaran yang diajar pada ketika itu ialah Congak, Ilmu Hisab,
Ilmu Alam, Bacaan Rumi, Karangan dan Pertukangan.
Memandangkan
bilangan pelajar semakin meningkat sehingga 390 orang, pada tahun 1953 sebuah
bangunan baru berukuran 120 kaki X 20 kaki telah dibina. Lantai dan dinding
bangunan ini diperbuat daripada simen manakala tingkapnya diperbuat daripada
bertam. Pada tahun 1983, bangunan baru setinggi 3 tingkat dibina dengan binaan
konkrit. Bangunan ini berukuran 160 kaki X 30 kaki bagi setiap satu aras.
Bangunan ini mempunyai 11 bilik darjah.
|
SK SULTAN MUDZAFFAR SHAH PADA 1985 |
Pada tahun
1973, Sekolah Kebangsaan Bujang telah ditukarkan nama kepada Sekolah Kebangsaan
Sultan Mudzaffar Shah, iaitu bersempena dengan nama Sultan Kedah yang pertama
memeluk Islam dan telah dimakamkan di Kampung Langgar, Mukim Bujang.
|
MAKAM SULTAN MUDZAFFAR SHAH DI KAMPUNG LANGGAR, MUKIM BUJANG
(dirakam pada tahun 70'an) |
Seterusnya
pada tahun 1991, pihak sekolah telah membina sebuah surau untuk kegunaan guru
dan murid-murid sekolah ini serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran
pendidikan islam. Pada tahun 2002 pula, pihak kementerian pelajaran telah
membina sebuah makmal komputer dengan 20 komputer murid dan 1 komputer guru
serta set bilik server.
Seiring
dengan pertambahan bilangan petempatan seperti Taman Lembah Bujang Fasa 1 - 3,
pihak kementerian telah membina dua bangunan berkembar setinggi 4 tingkat dan
sebuah bangunan untuk PraSekolah pada tahun 2009. Bangunan baru ini dilengkapi
dengan dewan terbuka, bilik-bilik darjah, makmal sains dan bengkel kemahiran
hidup.
Sekolah
Sultan Mudzaffar Shah telah dianugerahkan sebagai Sekolah Harapan Negara pada
tahun 1997.
SENARAI
GURU BESAR
- MOHD SULTAN BIN HASAN ( 1914 -
1917 )
- MD HASSAN BIN ALI ( 1917 - 1922
)
- MOHAMAD BIN SAAD ( 1922 -
1924 )
- MOHD YUSOF ( 1924 - 1929 )
- AB DAIM BIN MD JIWA ( 1929 -
1932 )
- OMAR BIN HJ MD AKIB ( 1932 -
1937 )
- ABD HAMID BIN YUSOF ( 1937 -
1942 )
- KHAMIS BIN IDRIS ( 1942 - 1969 )
- HASSANUDDIN BIN SAAD ( 1970 -
1976 )
- HASAN BIN HUSSAIN ( 1976 - 1978
)
- MOHAMAD BIN HARUN - MEMANGKU (
1979 )
- AHMAD BIN BAHAROM ( 1979 - 1987
)
- ABD MAJID BIN HASHIM (
1987 - 1989 )
- HAJI HUSSEIN BIN SHARIFF
(1987 – 1989 )
- HAJI MD NOOR BIN ARIFFIN ( 1989 – 1991 )
- HASSAN BIN HAJI AHMAD ( 1991 – 1992 )
- HAJI MAHMUD BIN HAJI HAMID ( 1992 – 1995 )
- MD ISA BIN ABDUL (1995 – 1998 )
- ASMAR BINTI DALIMI ( 1998 – 2000 )
- HAMIDAH BINTI MAHMOOD ( 2000 – 2000 )
- AHMAD KAMIL SARAIDIN BIN
SAMSUDIN ( 2000 – 2004 )
- ISHAK BIN ABDULLAH ( 2004 – 2006 )
- HAIRONI @ JUWAIRIYAH BINTI
SHUIB ( 2006 – 2007 )
- KAMARIAH BINTI ABD MANAN ( 2007
- 2013 )
- MOHD EFFENDI BIN ABDUL RAHMAN ( 2013- 2015 )
- MOHD ARIS BIN OSMAN ( 2016 - 2017 )
- ISMAIL BIN JEMALUDDIN ( 2017
|
BANGUNAN BARU YANG DIBINA PADA TAHUN 2009 DI ATAS TAPAK BANGUNAN ASAL |
|
RUMAH GURU JENIS F BERKEMBAR DUA DIBINA PADA TAHUN 1999
(JKR KM/SIK NO 1830 C DAN 1830 D) |
|
RUMAH GURU YANG DIBINA PADA TAHUN 1999 DAN KINI DIUBAH SUAI SEBAGAI
PUSAT SUMBER SEKOLAH |
|
RUMAH GURU YANG DIBINA PADA TAHUN 1958, MASIH KEKAL SEHINGGA KINI. |
|
REGU SEPAK TAKRAW YANG AMAT DISEGANI DI SEKITAR 70'AN
( SASARAN MURNI KAMPUNG BUJANG ) |
No comments:
Post a Comment