Sebagai sebuah sekolah yang telah lama
ditubuhkan, Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah, Bujang, Bedong, Kedah, telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai
bidang. Boleh dikatakan hampir keseluruhan golongan penduduk Mukim Bujang
menimba pengalaman awal dalam pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah. Golongan
ini kini bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan dan melalui pelbagai
pengalaman dalam kehidupan yang sebenarnya amat berguna jika dapat diturunkan
kepada generasi yang lebih muda terutamanya para pelajar yang masih menuntut.
Bekas pelajar-pelajar ini juga telah melalui berbagai cabaran semasa menempuhi
alam pembelajaran yang pastinya dapat membantu para pelajar yang masih bertungkus-lumus
menimba ilmu di kelas.
Apa yang menjadi masalah disini ialah
ketiadaan medium untuk golongan ini berkongsi pengalaman mereka. Disinilah
timbulnya idea untuk menubuhkan satu persatuan yang mampu menjadi medium untuk
menyalurkan segala pengalaman dan ilmu yang berguna kepada pelajar-pelajar.
Persatuan yang paling relevan dengan fungsi tersebut ialah sebuah persatuan
yang dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar ini dalam satu organisasi.
Relevan Penubuhan
Seperti yang dinyatakan, satu saluran perlu
diwujudkan bagi memastikan pengalaman dan kepakaran bekas pelajar-pelajar dapat
digunakan untuk memajukan sekolah. Selain itu, penubuhan alumni juga dapat
mengumpulkan semula hampir keseluruhan bekas pelajar-pelajar yang pernah
menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah. Dengan ini mereka dapat bertukar-tukar fikiran dan
idea untuk digarap bersama sebagai satu idea baru yang akan dapat digunakan
sebagai satu langkah untuk membawa kebaikan kepada sekolah khasnya dan kepada
penduduk Mukim Bujang amnya.
Jika difikirkan semula, sebuah sekolah yang
telah berusia hampir 100 tahun sepatutnya mempunyai satu persatuan khas untuk
mengumpulkan bekas pelajar-pelajarnya bagi memastikan kewujudan sekolah ini
sentiasa memberi faedah dan kebaikan kepada orang ramai di sekitarnya. Jadi
penubuhan Alumni ini sangat bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan semasa di
mana orang ramai kini kurang mengambil perhatian terhadap isu-isu yang berlaku
di sekolah.
Alumni juga mampu menjadi satu organisasi
penting yang membawa pengaruh besar kepada golongan muda Mukim Bujang yang
kini dilihat sibuk melakukan hal masing-masing sahaja. Golongan muda ini yang
juga terdiri daripada bekas pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah perlu
ditarik menyertai aktiviti sekolah bagi membawa impak yang lebih besar kepada
kemajuan sekolah kerana mereka dapat dilihat sebagai satu lapisan yang satu
hari nanti akan membarisi tampuk kepimpinan PIBG dan sekolah. Apa yang diharapkan
agar golongan ini akan dapat meneruskan malah memperkukuhkan perjuangan PIBG
yang sedia ada.
Pihak sekolah sendiri pastinya menyimpan
harapan agar pelajar-pelajar yang pernah menuntut di sini pulang semula untuk
menabur bakti dan membantu pihak sekolah mencapai matlamat sebagai pusat ilmu
utama di Mukim Bujang. Hanya alumni sahaja dapat merealisasikan harapan ini
kerana ia tidak terhad kepada lapisan masyarakat tertentu sahaja.
Objektif Penubuhan
Alumni diharap bukan sekadar dapat mengumpulkan bekas
pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Juara, malah membantu sekolah untuk mencapai
kemajuan dalam pelbagai bidang. Berikut digariskan beberapa objektif utama
penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah :
1. Mengumpulkan kepakaran dalam pelbagai
aspek pelajaran daripada segenap lapisan bekas pelajar sebagai pemangkin
kecemerlangan sekolah.
2. Sebagai satu mekanisma sokongan kepada
PIBG dan sekolah dalam memperbaiki sistem pembelajaran di samping memastikan
kebajikan para pelajar sentiasa diberi perhatian.
3. Berfungsi untuk memberi bantuan kepada
pihak sekolah dari segi sumber pengajaran, kemudahan pelajar dan apa-apa
material yang dilihat dapat membantu kemajuan sekolah.
4. Menjadi satu saluran selain PIBG untuk
penduduk menyuarakan pendapat dan cadangan kepada pihak sekolah. Dengan ini
aliran maklumat dapat berlaku dengan lebih lancar dan sistematik.
5. Memberi bantuan yang sewajarnya kepada dalam
menjayakan sesuatu majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah sekaligus
melancarkan perjalanan program tersebut.
6. Sebagai rakan dan juga pendokong misi
dan visi Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah.
7. Merangka program-program pembangunan
akademik dan sahsiah untuk membantu kecemerlangan sekolah dari segi akademik
mahupun disiplin pelajar.
8. Berkongsi pengalaman dalam menempuh
alam persekolahan sehingga ke alam pekerjaan.
Aktiviti
Aktiviti alumni perlu ditumpukan kepada beberapa elemen penting.
·
Pembangunan sosial dan akademik
pelajar
·
Penjanaan Kewangan
·
Perkongsian kepakaran
·
Aksesori tambahan
- Sambutan 100 tahun sekolah pada tahun 2014
Antara aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan oleh Alumni:
1. Kelas-kelas
tambahan untuk memperkukuhkan pembelajaran murid-murid. Tenaga pengajar terdiri
daripada ahli alumni sendiri.
2. Ceramah motivasi
dan teknik menghadapi peperiksaan yang disampaikan oleh individu-individu
berpengalaman.
3. Kempen kesedaran
kepada ibubapa dan sekolah tentang kepentingan hubungan akrab antara para
ibubapa dan sekolah.
4. Perjumpaan semula
bekas pelajar yang pernah menuntut dan guru yang pernah mencurahkan ilmu di Sekolah
Kebangsaan Juara.
5. Ceramah/seminar
untuk memberi panduan dan nasihat kepada pelajar dan ibubapa tentang skop
kerjaya.
Penutup
Berdasarkan kertas kerja ini, kita dapat melihat dengan jelas
bahawa penubuhan Alumni adalah relevan dengan keperluan semasa. Melalui
penubuhannya semua pihak akan mendapat pelbagai manfaat dan kebaikan samada secara
langsung mahupun tidak langsung. Tiada pihak yang akan mendapat kesan negatif
daripadanya. Jadi semua golongan harus bekerjasama agar penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah dapat direalisasikan dengan jayanya.
AHLI JAWATANKUASA
Penasihat : En. Mohd Effendi Bin Abdul Rahman
( Guru Besar SKSMS )
Presiden : En. Md Shukri Bin Shuib
( Pensyarah UUM )
Timbalan Presiden : Tn.Hj Zikri Bin Othman
( Telekom Malaysia / JKKKP Kg Bujang )
Setiausaha Kehormat : En. Gafri Bin Abdullah
( Guru SKSMS )
Penolong Setiausaha Kehormat : Cik Siti Fairuz Bin Ibrahim
( Pensyarah UiTM P.Pinang )
Bendahari Kehormat : Pn. Hjh. Roshimah Bt Saad
( Guru SKSMS )
Penolong Bendahari Kehormat : Pn Rosma Bt Azizan
( Anggota PDRM Sg Petani )
Jawatankuasa:
Pn. Hjh. Samsiah Bt Ishak ( Ahli Perniagaan )
En. Ali Bin Rosli ( Pegawai RELA / Keselamatan )
En. Mohd Nizam Bin Othman ( Pesara ATM )
En. Mohamad Faiz Bin Mohamad
Pn. Hjh Bushriyah Bt Baharom ( Pesara )
MESYUARAT JK ALUMNI KALI 1/2014
TARIKH : 23 APRIL 2014
MASA : 2.00 PETANG
HARI : RABU
TEMPAT : BILIK MESYUARAT SEKOLAH
Saya bekas pelajar SMSS tahun 1979-1984. Rasa bangga dengan perkembangan dan kejayaan sekolah ini. Alhamdulilah berkat didikan guru Yang mencurahkan ilmu Di sini telah berjaya menjadikan saya insan Yang berguna kepada masyarakat Dan negara. Alhamdulilah Dan lebih 25 tahun berada Di Sabah sebagai seorang pendidik. Bagaimanakah Cara untuk menjadi ahli alumni sekolah ini. Mungkin ianya dapat memvantu Dan berkongsi idea untuk terus membangunkan sekolah hingga mencapai tahap cemerlang Dan gemilang. Terima kasih
ReplyDelete